Tuesday, October 20, 2015

TERJEMAHAN: Kitab Al-Ijtihad wa al-Taqlid

Bismillah...
Ini merupakan percubaan aku yang kesekian kalinya untuk menterjemah buku daripada Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. Buku pilihan ini bertajuk 'Aqd al-Jayyid fi Ahkam al-Ijtihad wa al-Taqlid,  karya Maulana Imam Waliyullah bin Abd al-Rahim al-Dihlawi. Semoga Allah SWT memudahkan tujuanku yang murni ini dengan iringan keikhlasa kepadaNya dalam menterjemah kitab ini.


Pengenalan Kitab
Kitab ini dicetak oleh Dar al-Thaqafah al-Arabiyyah li al-Tiba'ah, Kaherah, Mesir tahun 1965. Buku ini merupakan salah satu siri buku-buku yang diterbitkan di bawah himpunan Silsilah al-Thaqafah al-Islamiyyah. Buku ini setebal 77 halaman dalam saiz yang sederhana. Selaku penterjemah, aku cuba menterjemah tanpa terikat dengan gaya dan uslub bahasa asal. Kerana menurut teori terjemahan, sebuah buku terjemahan yang baik adalah apabila dibaca tidak 'terhidu bau terjemahnnya'. Dalam waktu yang sama akan sentiasa memelihara maksud sebenar pengarang kitab. Setiap selesai helaian setiap muka surat diterjemahkan akan dicatit diakhirnya muka surat daripada buku asal seperti [m.s...] bagi memudahkan rujukan kitab asal dilakukan. WaLLahu al-Musta'an

BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM

Muqaddimah

Risalah ini bertajuk Aqd al-Jaiyyid fi Ahkam al-Ijtihad wa al-Taqlid. Saya mengarang risalah ini adalah untuk memenuhi permintaan dalam kalangan teman-teman untuk diberi pencerahan berhubung perbahasan penting dalam topik tersebut.
[m.s 4&5]

Hakikat Ijtihad
Menurut para ulama Ijtihad memberi maksud 'mencurahkan sepenuh tenaga untuk mengeluarkan hukum-hukum syarak dalam masalah furu'(cabang) menerusi dalil-dalil yang terperinci berasaskan sumber-sumber hukum yang empat iaitu, al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas'.
Daripada pernyataan ini ia boleh difahami bahawa ijtihad adalah sesuatu yang lebih luas daripada hanya sekadar curahan tenaga para ulama untuk mengetahui hukum yang telah diperkatakan ataupun tidak oleh para ulama silam dan sama ada ia disepakati ataupun tidak.
..bersambung..

Thursday, October 15, 2015

Membaca Buku Perlu Bimbingan



Ramai orang menganggap, apabila sudah pandai membaca, seseorang bolehlah terus membaca apa sahaja buku yang dia mahu. Hakikatnya tanggapan ini wajar direnungi semula. Ramai yang boleh membaca tetapi berapa ramai yang mahu membaca. Ramai yang mahu dan punyai keinginan membaca buku tetapi tidak ramai yang mampu memahami isi buku seterusnya menghabiskan buku yang dibaca. Tidak dinafikan adakalanya keinginan membaca sesebuah buku amat tinggi, apabila membaca, isi buku pula sukar difahami meskipun keinginan mengetahui kandungan buku amat tinggi; cuba lagi..cuba lagi..akhirnya timbul perasaan bosan..akhirnya buku diketepikan..

Apakah punca kebosanan ini? Jawabnya, kerana membaca tapi tak faham. Kenapa jadi tak faham, jawabnya kerana membaca tidak mengikut kaedah. Almarhum Tan Sri A. Samad Ismail pernah menyebut, akibat membaca tanpa panduan dan kaedah minatnya untuk mendalami bidang undang-undang menjadi pudar beransur-ansur meskipun semangat amat membara pada mulanya. Sebenarnya membaca perlukan motivasi dan mengikut kaedah, jika tidak kita mudah penat, lelah, bosan, buntu dan akhirnya merugikan masa.


Aku teringat waktu sedang menuntut di Kaherah, salah seorang guru kami Sheikh Imad Iffat (semoga Allah merahmati ruhnya) menyebut, "..ketika kita bertalaqqi kitab ini (kitab Fiqh Syafie, Hasyiah al-Bajuri) , ambillah perhatian bagaimana saya membaca tiap-tiap baris ayat dalam kitab ini. Ia sangat penting kerana ia panduan untuk anda semua. Tempoh kamu semua belajar di al-Azhar tidak lama. Untuk habiskan kitab ini memakan masa yang agak lama. Justeru apa yang penting kamu mengetahui selok belok cara membaca dan menelaah kitab turath/klasik ini untuk permulaan ini, selepas itu kamu akan mampu membaca baki perbicaraan kitab ini dan mampu membuka kitab-kitab yang lain pula".

Apa yang boleh difahami daripada ingatan Sheikh Imad itu, para penuntut perlu mengetahui kaedah membaca kitab terutama kitab-kitab turath. Inilah tradisi ilmu Islam sehingga tercetus kata-kata orang bijak pandai, 'sesiapa yang membaca buku tanpa berguru maka Iblislah gurunya'. Ungkapan ini jangan disalah ertikan sebagai penghalang kepada budaya membaca dan mengkaji secara sendirian. Mesej yang ingin dilontarkan adalah, bergurulah dalam menekuni buku pelajaran dalam menuntut ilmu kerana guru akan membimbing memahami ilmu menerusi buku yang dipelajari.

Justeru sebelum membaca dapatkan bimbingan. Dengan bimbingan kita akan dimotivasikan dan ditunjuki kaedah untuk membaca. Motivasi membaca penting sebagai peledak keinginan membaca. Slogan-slogan 'membaca jambatan ilmu, membaca penyuluh, bangsa membaca bangsa yang berjaya' tidak sepatutnya menghiasi dinding-dinding pusat sumber sekolah semata-mata. Ia perlu dihayati dan dimaknakan dalam diri kita sebagai motivasi untuk membaca.

Membaca buku seumpama kita menikmati makanan. Ada yang hanya perlu ditelan, ada yang perlu dikemam atau dikunyah hingga hancur barulah ditelan. Hal ini seperti apa yang diungkapkan oleh Francis Bacon, "ada buku untuk dinikmati, yang lain untuk ditelan, dan sebahagiannya untuk dikunyah dan dicernakan".

Membaca adalah kemahiran yang sangat diperlukan dalam pembelajaran seseorang. Membaca seumpama tiang seri dalam pembelajaran. Tanpa tiang yang kukuh besar kemungkinan proses pembelajaran akan mudah patah di tengah jalan dan tidak bertahan lama. Kaedah-kaedah pembacaan seperti pembacaan luncuran, pembacaan imbasan, pembacaan teliti, pembacaan teliti dan kritis  perlu digarap sebaiknya bagi membolehkan kita menyesuaikan diri dengan pelbagai bahan bacaan dan suasana. Pastinya membaca buku-buku falsafah dan ilmiah tidak seperti membaca surat khabar, majalah hiburan atau novel cinta. Membaca buku yang serius yang memerlukan penelitian dan analisis mungkin tidak sesuai dibaca ketika berada di kawasan lalu lalang orang ramai yang hingar bingar dengan hon kereta dan bunyi alunan muzik yang bingit.

Dapatkan motivasi dan pelajarilah kaedah dan teknik membaca. Pastinya tabiat membaca kita akan jadi lebih menarik dan bermakna. Kata-kata Tan Sri A. Samad Ismail mengakhiri coretanku ini, "..begitu bertuah sekali generasi sekarang kerana menerima bimbingan mengenai kaedah membaca".

Wednesday, October 14, 2015

Memburu Buku di Ipoh

Hari ini 1 Muharram 1437H/10 Oktober 2015 aku bagai didesak-desak oleh hati untuk pergi ke Novel hut di Ipoh Parade..bagi pemburu dan peminat buku-buku terpakai, NovelHut adalah syurga buku terpakai..meskipun tak mencapai taraf 'firdausi', tapi bagi aku toko buku terpakai ini banyak menambahkan koleksi buku-buku dalam rak-rak di rumahku..Nantilah bila ada kesempatan akan aku kongsikan kepesonaanku memburu buku terpakai di toko buku ini..

Apa yg hendak aku kongsikan di sini hasil buruanku yg tidak seberapa tetapi agak berbaloi...Setalah agak lama aku tak menjengah ke sini..Bukan apa aku sudah hampir kecewa dgn NovelHut sejak dua menjak ini..NovelHut kini umpama 'lubuk ikan yang tandus'..tahun ini entah berapa kali aku menjejak kaki ke sini..tiada biku yg menarik..

Tetapi hari ini kira berbaloi..Dua buku terpakai dapat aku 'tangguk'..Nah ini hasilnya..!



Aku yakin kepada peminat dan collectors  pisau pasti 'tangkap leleh' bila menatap encyclopedia ini. The Complete Encyclopedia of Knives sememangnya disusun khusus untuk peminat, pengumpul pisau dan juga buat pihak berkuasa awam sebagai panduan. 
  
Menerusi buku ini, kita didedahkan dengan beberapa maklumat penting sepert sejarah perkembangan pisau, penjelasan istilah pisau, huraian menyeluruh secara teknikal bagaimana pisau dibuat, maklumat mengenai pereka pisau dan jenama-jenama pengeluar pisau, senarai data pisau abad ke-20 mengikut abjad dan lebih daripada 600 ilustrasi pisau yang menarik. Memang buku ini 'mengenyangkan' bagi yang meminati pisau!
..bersambung...

Tuesday, October 13, 2015

BEDAH BUKU 1: Sejarah Perisikan di Malaysia





Pertama kali melihat tajuk di kulit buku ini, aku tergambarkan watak spy yg diminati ramai 'James Bond'..buku ni pasti menarik, getus hatiku..Memang tak salah telahanku ini..Buku ini memang menarik. Ia mendedahkan fakta-fakta sejarah yang bagi aku banyak yang terselindung selama ini iaitu rupa-rupanya Malaysia@Tanah Melayu telah merakamkan kisah-kisah 'pengintaian' yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar dunia khususnya pada era Perang Dunia I & II. Kajian seputar perisi

Realiti yang tidak dapat dinafikan tema perisikan dalam perkembangan sejarah di Malaysia agak jarang dibahaskan oleh para sejarawan. Hingga ke hari ini kajian berhubung aspek ini masih dianggap nadir. Ramai orang mengetahui Tanah Melayu pernah jatuh ke tangan Jepun yang memaksa kuasa besar yang membentengi Tanah Melayu, British terpaksa akur akan kemaraan Jepun. Namun berapa ramai menyedari bahawa tunjang kejayaan tentera Jepun ini banyak dibatu oleh ejen perisikan Jepun atau dikenali senagai Kusaku, telah menyelinap masuk ke Tanah Melayu sejak penghujung abad ke 19 lagi.

Sejarah perisikan, penggunaan perisikan serta hal-hal yg berkaitan dunia perisikan spt penyuluhan, tipu helah, sabotaj, subversif mahupun propaganda dibincang di dalam buku ini. Paling ketara ketika sebelum, semasa dan selepas Jepun mendarat ke Malaya untuk menjajah..Rupa-rupanya orang Jepun telah mula bertapak di Malaya malah Asia Tenggara sejak penghujung abad ke 19 lagi. Mereka bergiat di pelbagai sektor ekonomi, seperti peniaga kedai runcit, aktiviti pertanian, nelayan, perlombongan, tukang gunting, doktor dan pelacur khususnya di Singapura . Meskipun tidak semua dalam kalangan menjadi ejen perisik yang sebenar tetapi mereka bergiat sebagai sleeper agent, yang bertindak sebagai penyalur maklumat disamping menjalankan kerja-kerja mereka.

Signifikan aktiviti perisikan Jepun di Tanah Melayu malah menjajar ke Tanah Sumatera menggamit pengarang buku ini menyentuh tentang isu ini dalam beberapa bab. Ini kerana banyak isu dan maklumat yang sangat penting amat perlu dianalisis secara mendalam. Seperti penglibatan Kesatuan Melayu Muda sebagai ejen dalam memberi kerjasama kepada menjayakan cita-cita Jepun menawan Tanah Melayu dengan propaganda dan janji yang mulus-mulus. Begitu juga usaha kosaku Jepun memperoleh maklumat dari sumber dalaman ketenteraan British dengan merekrut pegawai British sebagai 'ejen' Jepun dan bagaimana tindakan pihak British menghadapi perisikan Jepun.

Paparan buku ini tambah menarik apabila ia turut menyentuh aktiviti perisikan Parti Komunis Malaya dalam dunia perisikan di Tanah Melayu dan aktiviti penyuluhan Indonesia terhadap malaysia pada era konfrontasi. Banyak lagi paparan kisah risikan berkaitan negara kita ini yang pastinya menarik dalam buku ini dan ia sangat berbaloi dibaca oleh mereka yang berminat mengembangkan ufuk pengetahuannya. Justeru tidak hairanlah buku ini dibahagikan kepada 16 bab.

Aku kira penulis buku ini berjaya menarik minatku untuk terus menelaahnya yang setebal 478 halaman. Tahniah kepada penulis dalam usahanya mengembangkan skop kajian sejarah, yang boleh membebaskan tanggapan bahawa sejarah suatu kajian yang beku dengan kebiasaannya berkisar dalam hal-hal berkaitan politik !..Selamat membaca.!

Monday, October 12, 2015

Apa ada pada BUKU?

Apa ada pada buku?..Segelintir khalayak menganggap buku benda mati, kaku..sama seperti meja, tv dan benda-benda
tak bernyawa. Namun hakikatnya buku adalah nadi kehidupan manusia dan pembina ketamadunan dunia..
Apa buktinya?..Di sini kita buktikan..kata-kata ini bukan omong kosong..